AlJannatulFirdaus

Cetusan Rasa Islam dan Hiburan

Kisah Siti Zubaidah

Dia seorang lagi serikandi Islam yang cukup terkenal dari dahulu sehingga kini. Dia juga turut dikaitkan dengan terusan yang cukup pernting dan popular serta menjadi nadi kepada umat Islam, terutama yang datang ke Mekah untuk mengerjakan haji.

Terusan yang dibina kira-kira 1400 tahun dahulu itu adalah hasil dari inisiatif seorang wanita hartawan, Siti Zubaidah binti Jaafar. Jasanya terutama dalam pembangunan infrastruktur di zaman kerajaan Abasiah. Terusan tersebut menjadi nadi penting pada masa itu.

Kisah wanita ini amat menarik untuk ditatapi oleh pembaca, bukan kerana dia isteri Khalifah Harun Al-Rashid, tetapi dikagumi kerana kepintaran dan wawasannya membina kemudahan infrastruktur negara.


Perkahwinan Siti Zubaidah dan Khalifah Harun diadakan secara besar-besaran semasa pemerintahan Al-Mahadi, ayahanda kepada Khalifah Harun. Rakyat jelata dan fakir miskin dihidangkan dengan pelbagai hidangan lazat serta diberikan pelbagai hadiah istimewa di majlis itu.

Khalifah Harun yang pada masa itu belum dilantik sebagai Khalifah sanggup membelanjakan banyak wang untuk meraikan perkahwinannya. Beliau sanggup melakukan apa sahaja kerana terlalu gembira berjaya memiliki wanita idaman.

Siti Zubaidah seorang wanita yang pintar dan berpandangan luas. Justeru pendapatnya sentiasa diterima dan dihormati. Selain itu di juga berbakat dalam bidang seni terutama sajak dan syair berunsur perjuangan, puji-pujian kepada Tuhan, selawat ke atas Nabi dan sebagainya.Aktiviti seni dan budaya menjadi sebahagian dari darah dagingnya. Dia juga mempunyai dan memimpin unit kebudayaan di bawah pimpinannya.

Selain itu di juga isteri yang memahami tugas dan tanggungjawab suami sebagai pejuang Islam. Untuk itu dia sentiasa berjalan seiring dengan perjuangan suami kerana menyedari tenaga wanita sepertinya turut diperlukan dalam perkembangan negara Islam.Dia juga sedar bahawa tugas sebagai pemipin bukan satu tugas yang mudah dan tugas isteri jua bukan sekadar ibu rumahtangga, tetapi mendampingi, memberikan buah fikiran dan membantu tugas-tugas suami terutama dalam meningkat imej negara dan agama Islam.Bagi memastikan segala-galanya berjalan lancar, Siti Zubaidah begitu berhati-hati mengatur hidupnya menguruskan rumahtangga dan menghibur suami serta anak-anak yang bakal dilahirkan.

Dia sedar sebagai isteri Khalifah, dia perlu cepat bertindak dan bijak membuat keputusan, berwaspada dalam semua keadaan, membataskan diri dengan hukum-hukum syarak serta berkorban apa sahaja untuk suami walaupun terpaksa mengorbankan perasaannya sendiri. Yang penting baginya biarlah suami mendapat layanan terbaik dan istimewa serta sentiasa dilimpahi kegembiraan.Walaupun hidupnya dilimpahi kekayaan, tetapi wanita ini sentiasa memastikan dia tidak termakan dengan pujukan syaitan. Dia beranggapan kekayaan di dunia cuma sementera dan sekiranya dilaburkan mengikut cara yang betul akan mendapat keberkatan di akhirat kelak, manakala kehidupan akhirat adalah kehidupan yang kekal, indah dan terlalu manis. Keindahan dan kemanisan itulah yang dicari.

Idea untuk membina terusan tersebut terdetik apabila mendapat tahu bahawa penduduk di Mekah menghadapi masalah kekurangan air ketika mengerjakan haji pada tahun 186 hijrah. Melihat keadaan itu, dia mengarahkan semua arkitek dan pekerja untuk segera melaksanakan pembinaan projek terusan walaupun terpaksa menanggung perbelanjaan yang besar.Mereka memulakan kerja-kerja tersebut dengan menyambungkan mata air dari gunung-gunung di sekitar Mekah. Projek ini menelan belanja 1,700,000 dinar. Ia masih beleh digunakan oleh sesiapa sahaja yang melalui jalan di antara Mekah dan Mina.

Selain itu dia juga turut memperbaiki jalan di antara Baghdad ke Mekah. Di sepanjang jalan dibina perigi-perigi dan rumah-rumah persinggahan untuk memudahkan orang ramai yang datang ke Mekah berehat.Selain itu di Baghdad juga terdapat sebuah masjid terkenal dan dinamakan masjid Siti Zubaidah kerana dia yang bertanggungjawab membinanya.

Khalifah Harun Al-Rashid amat gembira dan berasa bertuah kerana mempunyai isteri yang cantik dan bijak. Pasangan ini sering berbincang dan bertukar pandangan. Pendapat Siti Zubaidah selalu tepat dan sesuai untuk pembangunan semua golongan.

Tentang penglibatan dalam politik, dia tidak bermaksud untuk mencampuri urusan tersebut, tetapi mahukan anak sulungnya, Al-Amin dilantik sebagai Putera Mahkota, tetapi cadangan ini telah dibantah oleh Khalifah Harun Al-Rashid."Wahai Zubaidah, sesungguhnya kelebihan anakmu dihadapanmu adalah sama seperti keindahan seorang anak di mata ibu bapanya.Bertakwalah kepada Allah, sebenarnya demi Allah, anakmu ini lebih aku kasihi dari lain-lain.

Tetapi perkara ini adalah perkara pemerintahan, tidak boleh diserahkan, melainkan kepada orang yang berhak. Kita semua bertanggungjawab kepada rakyat jelata dan berdosa jika kita cuai. Kita tentu tidak sanggup menemui Allah dengan menanggung dosa-dosa mereka serta dipertanggungjawabkan atas kesalahan-kesalahan mereka." Kata Khalifah.Setelah mendengar kata-kata suami tersayang, Siti Zubaidah tidak membantah.

Bagaimanapun sejarah kemudian menyaksikan Al Amin dilantik dan diberikan jawatan itu selepas kemangkatan Khalifah. Dia kemudian digulingkan dan dihukum bunuh setelah gagal melaksanakan tugas dengan baik. Tempatnya diganti oleh Al Makmum.Siti Zubaidah menyaksikan semua itu dengan hati yang hancur luluh. Tetapi apabila mengingatkan kata-kata arwah suami, jiwanya kembali tenang. Dalam masa yang sama ada yang cuba menghasut supaya menuntut bela ke atas pembunuhan tersebut, tetapi dia berjaya mengenepikan hasutan tersebut.

Baginya Al Makmum tidak bersalah dan dia kenal siapa anaknya dan siapa Al Makmum.Sejak itu wanita ini menghabiskan sisa-sisa hidup dengan memperbanyakkan ibadat, berzikir serta memohon keampunan di atas dosa-dosa yang lalu. Dia juga menjadi tumpuan, tempat rujukan dan pertanyaan mengenai hal-hal furuk dalam ajaran Islam.Siti Zubaidah menyimpan seramai 100 jariah yang menghafaz al-Quran. Dia meninggal dunia pada 216 Hijrah di Baghdad.

Kitab Riadhus Salikin menceritakan bahawa selepas beberapa malam setelah kematian Siti Zubaidah, seorang soleh yang bertaraf wali Allah bermimpi melihatnya berada di dalam syurga.Wali Allah tersebut bertanya, "Ibadah apakah yang menyebabkan Allah mengampunkan dosamu,adakah kerana kamu telah menggali sebuah kolam air antara Makkah dan Madinah?"

Jawap Zubaidah, "Allah mengampunkan dosaku dengan banyak mengucapkan bersyukur. Sebenarnya aku tidak banyak beribadah kecuali satu semasa hayatku dulu iaitu apabila terdengar saja Azan sedangkan waktu itu aku tengah berhibur dan mendengar nyanyian maka dengan serta merta aku menyuruh mereka memberhentikannya bagi menghormati seruan azan. Itulah ibadah yang aku benar-benar menjaganya. Sebagai balasan , Allah berfirman,"Kamu dilarang menyeksanya, jika tidak kerana iman yang ada di dalam dadanya masakan ia mahu menyebutKu dalam keadaan leka"..
***
Walaupun amalan yang dilakukan adalah kecil dan bukan juga dia dari kalangan orang yang warak , tetap mendapat perlindungan dari Allah. Yang penting ialah kita perlu istiqamah dalam membuat amalan biarpun sedikit. Diriwayatkan Siti Zubaidah adalah seorang wanita bangsawan yang kaya,hobinya suka mendengar muzik.Dia memiliki pentasnya sendiri serta beberapa orang penyanyi yang jadi penghiburnya. Apa yang menjadi kelebihannya ialah apabila terdengar saja seruan Azan dia akan segera memerintah penyanyi dan permuziknya itu berhenti untuk seketika bagi menghormati azan.Setelah selesai dan menjawap azan barulah disambung semula,hanya itulah amalan yang sentiasa dijaganya..Wallahu'alam..

Ruby Bee


0 Komentar untuk "Kisah Siti Zubaidah"

RESEPI DARI CIK BEE

 
Copyright © 2014 AlJannatulFirdaus - All Rights Reserved
Template By Catatan Info