AlJannatulFirdaus

Cetusan Rasa Islam dan Hiburan

TAWARAN ISTIMEWA YANG KEKURANGAN PELANGGAN

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
ERTI HADIS

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
" Seandainya orang ramai mengetahui betapa bersar pala azan dan menepati saf pertama [di masa sembahyang berjema'ah], kemudian mereka tidak menemukan jalan untuk memperolihinya melainkan dengan membuat undi [atau giliran] nescaya mereka akan berbuat demikian, juga seandainya mereka mengetahui betapa besarnya pahala bersegera [pergi ke masjid] untuk melakukan sembahyang berjema'ah, nescaya mereka akan berlumba-lumba untuk mendapatkannya. Demikian pula seandainya mereka mengetahui betapa besar pahala sembahyang Isyak dan Subuh dengan berjema'ah, nescaya mereka akan datang untuk menghadirinya sekalipun mereka terpaksa berjalan dengan merangkak-rangkak."H.R. BUKHARI DAN MUSLIM

KETERANGAN

Azan, menepati saf pertama, bersegera pergi ke masjid dan mengerjakan sembahyang Isyak dan Subuh dalam berjema'ah adalah diantara amalan yang akan diberikan pahala yang amat besar sekali pada hari qiamat nanti. Kalau orang ramai mengetahui nilai ganjaran terhadap amalan-amalan ini dan diperlihatkan kepada mereka seperti gaji yang diterima pada setiap hujung bulan, mereka mesti akan berusaha sedaya upaya untuk merebutnya, bahkan mereka terpaksa membuat giliran untuk membuat agihan kepada orang-orang yang ingin mendapatkan peluang itu.

Namun kenyataannya bukan demikian. Banyak orang yang tolak menolak dalam melaksanakan amalan-amalan ini. Terkadang kalau ternampak saf pertama atau saf hadapan itu kosong, yang seorang mempersilakan orang lain untuk memasukinya dan yang lain pun begitu pula. Padahal dalam masalah seperti ini makruh mendahulukan orang lain. Peluang itu mesti kita rebut dan jangan diabaikan. Tetapi sebaliknya ada pula orang yang kalau makan bersama-sama, ia tidak berkenan mempersilakan orang lain untuk mendapatkan habuan yang lebih banyak daripadanya, padahal dalam keadaan seperti ini kita sangat disuruh untuk melebihkan dan mendahulukan orang lain.

Amalan-amalan yang disebutkan dalam hadis di atas ialah perkara-perkara yang berkaitan dengan kesempurnaan sembahyang yang merupakan tiang kepada agama kita dan berkaitan dengan sembahyang berjema'ah yang merupakan syi'ar bagi kaum Muslimin. Oleh itu amalan-amalan ini sangat perlu untuk diperkemaskan dan disempurnakan. Kalau di zaman Rasulullah SAW tidak ada orang yang ketinggalan dari menghadiri sembahyang berjema'ah selain daripada orang-orang munafiq atau orang-orang Islam yang mempunyai keuzuran yang ketara sekali, bahkan ada di antara sahabat Rasulullah SAW yang terpaksa dipimpin oleh dua orang anaknya untuk dapat hadir sembahyang berjema'ah, tetapi di hari ini banyak masjid-masjid kosong dari sembahyang berjema'ah dan banyak pula masjid-masjid yang hanya dihadiri oleh orang- orang tua atau pegawai-pegawai yang sudah pencen sahaja dan banyak pula masjid yang tidak sampai satu saf orang hadir sembahyang berjema'ah didalamnya.

Maka dari kerana itu marilah kita bersama menegakkan syi'ar Islam ini dan InsyaAllah dengan itu kita akan dikurniakan kemenangan yang pernah diberikan kepada generasi dahulu. 

by Manchiko Osman on Saturday, January 14, 2012 at 10:47pm


0 Komentar untuk "TAWARAN ISTIMEWA YANG KEKURANGAN PELANGGAN"

RESEPI DARI CIK BEE

 
Copyright © 2014 AlJannatulFirdaus - All Rights Reserved
Template By Catatan Info