AlJannatulFirdaus

Cetusan Rasa Islam dan Hiburan

PENDA'WAH YANG MALANG

ERTI HADIS RIWAYAT BUKHARI & MUSLIM
Daripada Abu Zaid Usamah Bin Zaid Bin Haristah radhiallahu anhuma berkata:
" Aku mendengar Rasulullah saw bersabda:" Akan didatangkan seorang lelaki pada hari qiamat nanti lalu dilemparkan ke dalam api neraka sehingga terkeluarlah isi perutnya kemudian lalu ia berpusing [ di tengah-tengah unggunan api neraka ] seperti berpusingnya seekor keldai di tempat penggiling gandum.Para penghuni neraka terkejut melihat kejadian ini lalu mereka segera berhimpun di sekelilingnya sambil berkata kepadanya: " Hai Fulan! Mengapa engkau jadi begini? Bukankah dahulu [ sewaktu di dunia ] engkau suka menyuruh orang berbuat kebaikan dan melarang mereka daripada kemungkaran?" Lalu orang itu menjawab: " Ya benar. Dahulunya saya suka menyuruh orang lain berbuat kebaikan, tetapi saya tidak melakukannya, dan saya suka melarang orang lain daripada kemungkaran, tetapi saya sendiri melakukannya".

KETERANGAN
Hadis di atas mengandungi amaran keras kepada orang yang suka menyuruh orang lain berbuat kebaikan sedang dia sendiri tidak melakukannya dan juga dia suka melarang orang lain daripada kemungkaran sedangkan dia sendiri melakukannya. Oleh itu hendaknya para penda'wah mendahulukan menda'wah diri mereka sendiri sebelum mengajak orang lain. Kalau penda'wah itu sendiri telah mengamalkan kebaikan yang dida'wahkannya, tentunya orang lain akan mudah untuk mengikutinya dan mereka dengan mudah percaya bahawa apa yang diajaknya itu adalah suatu perkara yang baik, tetapi kalau penda'wah itu sendiri belum melakukan apa yang dikatakannya itu, tentulah orang lain akan meragui kebenaran apa yang diperkatakannya dan mereka tertanya-tanya, kalau sebenarnya baik apa yang disuruhnya itu, tentu dia sendiri yang terlebih dahulu melakukannya.

Begitu pula halnya dengan kemungkaran yang dilarangnya. Kalau ia sendiri telah melakukan kemungkaran tersebut, tentunya orang tidak akan mengindahkan tegurannya dan tindakannya itu telah menjadi hujjah bagi orang lain untuk mereka terus sahaja berada dalam kemungkaran tersebut.

Penda'wah yang seperti ini dapat memberikan kesan yang sangat buruk kepada da'wah dan dapat menjadi batu penghalang kepada kemaraan perjalanan da'wah itu sendiri maka dari kerana itu amat berat pula siksaan yang akan dikenakan ke atas dirinya sebagai balasan yang setimpal dengan tindakannya yang merugikan itu.

KITA MEMOHON KEPADA ALLAH SWT SEMOGA IA MEMELIHARA KITA DARIPADA SIKSA-NYA. Amiin. 

by Manchiko Osman on Tuesday, December 13, 2011 at 9:33pm


0 Komentar untuk "PENDA'WAH YANG MALANG"

RESEPI DARI CIK BEE

 
Copyright © 2014 AlJannatulFirdaus - All Rights Reserved
Template By Catatan Info