AlJannatulFirdaus

Cetusan Rasa Islam dan Hiburan

HANYA BEROLEH PENAT DAN LETIH BERJAGA MALAM

ERTI HADIS RIWAYAT IMAM an-NASAI
Daripada Abu Hurairah radhiallahu anhu berkata : Rasulullah SAW bersabda :
" Berapa banyak orang yang bersembahyang tetapi yang didapatinya dari sembahyangnya itu hanyalah letih berjaga malam sahaja".

KETERANGAN
Sembahyang adalah tiang agama dan syi'ar bagi masyarakat Islam. Allah SWT menyuruh hamba-Nya bersembahyang adalah supaya mereka selalu mengingati-Nya dan menghampirkan diri kepada-Nya. Dari kerana itu hendaklah sembahyang itu disempurnakan syarat, rukun dan sunat-sunatnya supaya sembahyang itu menjadi sah pada hukum zahirnya dan hendaklah pula disempurnakan adab bathinya iaitu ' Khusyu'' sewaktu mengerjakannya, kerana ia merupakan 'Roh' kepadanya, dan hati orang yang sembahyang itu adalah tempat pandangan Allah SWT yang menentukan nilai kepada sembahyang tersebut.

Maka apabila seseorang bersembahyang yang sedangkan hatinya lalai dari sembahyang, bererti dia tidak menghargai pandangan Allah SWT kepadanya. Alangkah besarnya bohong seseorang yang lidahnya mengucapkan:" AKU MENGHADAPKAN MUKAKU KEPADA TUHAN YANG MENJADIKAN LANGIT DAN BUMI....", sedangkan hatinya mengingati yang lain daripada-Nya. Maka oleh kerana itu pernah Imam Hasan al-Bashri mengatakan:" Setiap sembahyang yang tidak ada khusyu' hati bersamanya adalah lebih hampir kepada siksaan".

Maka berusahalah untuk mendapatkan khusyu' dalam sembahyang dengan menghadirkan hati pada setiap bacaan yang diucapkan dan tanamkan di dalam hati akan kebesaran Allah SWT dan Keagungan-Nya sambil memandang rendah kepada diri dan rasa malu kepada Allah SWT disertai pula dengan kebimbangan terhadap amalan yang telah dilakukan, apakah ia diterima atau tidak, namun perlu pula dicampuri dengan menaruh harapan yang besar agar sembahyang kita yang tidak seberapanya itu diterima di sisi-Nya, bukan kerana keindahan sembahyang yang kita lakukan tetapi hanyalah semata-mata dengan limpah kurnia daripada Allah SWT sahaja. 

by Manchiko Osman on Wednesday, December 14, 2011 at 7:15am


0 Komentar untuk "HANYA BEROLEH PENAT DAN LETIH BERJAGA MALAM"

RESEPI DARI CIK BEE

 
Copyright © 2014 AlJannatulFirdaus - All Rights Reserved
Template By Catatan Info