AlJannatulFirdaus

Cetusan Rasa Islam dan Hiburan

SUMBER PAHALA ITU BANYAK

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh
ERTI HADIS:

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata : Rasulullah SAW bersabda: " Setiap sendi daripada manusia hendaklah memberikan sedekah pada setiap hari yang terbit padanya matahari. Berlaku adil antara dua orang [yang bertelingkah] adalah sedekah. Monolong orang lain pada binatangnya [kenderaannya] maka engkau menolongnya menaiki kederaan atau membantu mengangkatkan barangnya ke atas kenderaannnya adalah juga sedekah. Perkataan yang baik juga sedekah. Setiap langkah yang engkau jalani untuk pergi sembahyang [berjemaah] juga sedekah. Engkau menyisihkan apa-apa yang dapat mengganggu di jalan itu juga sedekah."H.R. BUKHARI & MUSLIM

Dalam riwayat lain, Imam Muslim pernah meriwayatkan daripada Aisyah r.a.bahawa Rasulullah SAW bersabda:
" Bahawasanya setiap insan daripada anak Adam adalah diciptakan badannya daripada tigaratus enam puluh sendi. Maka sesiapa yang bertakbir, memuji Allah, bertahlil, bertasbih, meminta ampun, menyisihkan sebiji batu yang mengganggu djialan orang ramai, atau membuang sebilah duri atau sepotong tulang dari jalan orang ramai, atau menyuruh berbuat baik atau mencegah dari perbuatan mungkar, sehingga apa yang dilakukannya mencukupi bilangan tigaratus enampuluh kali, maka orang tersebut pada hari itu telah menjauhkan dirinya daripada api nereka." 


KETERANGAN

Hadis di atas menerangkan kepada kita akan banyaknya sumber yang dapat kita jadikan saluran untuk membuat kebaikan dan mencari pahala dari Allah SWT dimana pahala itu boleh didapati dengan ibadat sembahyang, zikir, bercakap baik, membantu orang lain, membuat sesuatu yang dapat memberikan keselesaan dan kesejahteraan kepada orang lain dengan segala bentuk amalan sosial yang dapat memberi faedah kepada masyarakat bahkan berbuat baik kepada binatang dan seumpamanya seperti tersebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim, dimana Allah SWT memberikan keampunan kepada seorang perempuan pelacur dari kalangan Bani Israil yang telah memberikan minuman kepada seekor anjing yang sedang kehausan di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang. Dan di dalam satu hadis yang lain riwayat Imam Muslim bahawasanya Rasulullah SAW telah melihat seorang lelaki yang bersuka-suka didalam Syurga dengan sebab memotong sebatang kayu yang mengganggu laluan kaum Muslimin. Dan sudah barang tentu kemurahan Allah SWT ini adalah disertai dengan taubat dan selanjutnya diiringi dengan mengerjakan kewajiban yang disuruh dan menjauhi larangan yang ditegah.

Maka berlumba-lumbalah untuk berbuat kebaikan dan berusahalah dalam mencari rahmat dan keredhaan daripada Allah SWT dengan membuat berbagai-bagai bentuk ketaatan dan jangan sampai terlibat dengan jenis apapun daripada bentuk kemaksiatan...


by Manchiko Osman on Sunday, January 15, 2012 at 12:33am


0 Komentar untuk "SUMBER PAHALA ITU BANYAK"

RESEPI DARI CIK BEE

 
Copyright © 2014 AlJannatulFirdaus - All Rights Reserved
Template By Catatan Info