AlJannatulFirdaus

Cetusan Rasa Islam dan Hiburan

JAGA ADAB BILA BERSAMA WARGA TUA

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Setiap manusia perlu berbicara, ia adalah salah satu cara yang paling efektif untuk berkomunikasi. Kemahiran bercakap ini juga membolehkan sesuatu maksud atau tujuan serta idea itu dapat disampaikan dengan cepat. Namun bukan semua percakapan itu boleh memberi impak positif kepada seseorang yang lain.

Demikianlah halnya ketika berbicara dengan orang yang lebih berusia daripada diri kita. Ada banyak etika, adab dan sopan santun yang perlu diketahui dalam berbicara.

1. BERI SALAM

  Setiap kali bertemu orang yang lebih tua sebaiknya berilah salam dengan penuh keikhlasan. Kucuplah tangan mereka itu. Sekurang-kurangnya ia dapat mengundang perasaan kasih dalam diri orang tua terhadap anda. Lalu bangkitkan suasana hangat dengan mengalu-alukan kehadiran orang yang lebih tua dalam hidup anda. Misalnya, mengajaknya berkongsi idea bersama, mendengar dengan teliti setiap butir kata yang disampaikan, dan sabar melayan setiap kerenah mereka.

2. PENYAMPAIAN SEDERHANA
   Ketika menyampaikan sesuatu maklumat sama ada berita gembira atau sedih, ia perlu disampaikan dengan penuh berhemah dan bersederhana. Elakkan keghairahan kala bercerita kerana ia boleh mempengaruhi atau mengguris perasaan orang yang lebih tua. Mereka sebenarnya lebih peka dan lebih sensitif terhadap sesuatu.

3. JANGAN TERLEBIH YAKIN
  Keyakinan diri kala berbicara itu penting, tetapi jangan sampai terlebih yakin dan mengundang sifat sombong dalam diri. Terutama apabila bercerita mengenai kerjaya dan kedudukan anda di mata masyarakat. Bukan semua perkara dalam diri anda akan di senangi oleh orang lain. Jika anda pandai menyusun tutur kata, pasti anda lebih disayangi oleh mereka. Begitu juga sewaktu menyampaikan tentang kekurangan diri, jangan terlalu berlebih-lebihan sampai meratapi nasib. Ia menyebabkan kepercayaan dan semangat untuk hidup berkurangan. Memberitahu kekurangan orang lain juga perkara yang paling senang untuk dibualkan. Skandal-skandal liar terutamanya, maka itulah disarankan agar kita bijak menutur kata dan berhati-hati dalam berkata-kata. Ada kalanya kata-kata kita itu bukan mendatangkan pahala malah mengundang dosa.

4. SOPAN  
 Perlakuan sopan juga membantu kala berbicara dengan orang yang lebih tua. Sekiranya mereka sedang duduk di hadapan anda, dan anda perlu untuk melintasinya, maka tundukkanlah sedikit tubuh anda sambil meminta izinnya untuk lalu. Begitu juga ketika hendak duduk di sebelahnya atau terpaksa memotong barisan ketika sedang beratur untuk membayar bil. Kadangkala tutur kata dan kesopanan yang ditunjukkan membuatkan mereka berasa simpati dengan kesusahan dan memahami situasi yang anda alami.

5. WAJAH MANIS
  Jika anda belajar untuk memaafkan dan berlapang dada, sudah tentu anda dapat manfaatnya di kemudian hari. Sampaikan setiap perkara itu dengan sulaman kemanisan dan keceriaan wajah. Walaupun berita itu sedih anda masih boleh menyampaikannya dengan segaris senyuman dan pengharapan. Sekurang-kurangnya senyuman itu dapat menwarkan kedukaan yang mereka sedang alami.

6. JANGAN UNGKAP KATA KESAT
  Jangan sesekali mengungkapkan kata-kata kesat yang boleh mengguris hati mereka. Apatah lagi mengherdik orang yang lebih tua. Sekalipun, perlakuan mereka mencabar kesabaran anda yang lebih muda, tetap sampaikanlah perasaan anda dengan penuh berhemah. Jika tidak dapat diluahkan dengan tutur kata, tidak salah anda mencoretnya diatas sekeping kertas. 

7. HULURKAN BANTUAN
  Sekiranya anda diamanahkan untuk menjaga harta benda mereka, maka pelihara dengan sebaik-baiknya. Jaga juga nama baik dan kehormatan diri anda. Secara tidak langsung, maruah mereka akan dipandang tinggi oleh mata masyarakat. Jangan lupa untuk menghulurkan bantuan seperti membeli barangan keperluan dapur mahupun peribadi. Meringankan beban orang tua juga memberi pulangan yang cukup lumayan untuk anda. Jika dikerjakan dengan ikhlas, anda akan berasa selesa dan tenang sentiasa.

8. JANGAN EGO UCAP MAAF 
  Jangan ego untuk menyampaikan kata-kata maaf sekiranya telah mengguris hati mereka. Sebaik-baiknya meminta maaf setiap hari, kadangkala orang tua menyatakan kecalaran hati mereka. Maka, anda sebagai yang muda perlu merendah diri sendiri. Jika mahu membantah mereka, maka jangan menyalahkan orang tua. Sebaliknya usahakan dengan sopan agar penjelasan dapat diterima oleh mereka dengan hati terbuka. Suara juga perlu dijaga nadanya. Jangan sampai membantah keras, sebaliknya berlembutlah dengan mereka.

9. HORMATI MAKAN MINUM MEREKA 
  Ketika di meja makan, anda perlu menghormati makan dan minum mereka. Jika anda perlu makan dahulu, maka asingkanlah makanan dan minuman mereka dalam bekas yang berlainan. Jangan memberi mereka lebihan anda, ia mengundang perlakuan kurang sopan dan seolah-olah anda tidak menghormati mereka yang lebih tua.

SABDA NABI SAW:
" Sesungguhnya ALLAH menyayangi hamba-hamba -Nya yang berkasih sayang."[Riwayat: Bukhari]

Dari Abu Hurairah r.a. katanya, saya mendegar Rasulullah saw bersabda:
" Siapa yang ingin rezekinya dibanyakkan dan umurnya dipanjangkan, hendaklah ia menghubungkan tali silaturahim."

'Di antara kesempurnaan dan kecantikan keislaman seseorang itu ialah meninggalkan sesuatu yang tidak mendatangkan faedah'

'Musim yang sebenarnya ialah orang-orang Islam yang terselamat dari lidah dan tangannya'

'Dan Allah akan menolong hamba-Nya selagi mana hamba itu sendiri menolong saudaranya'

by Manchiko Osman on Thursday, December 29, 2011 at 8:48pm


0 Komentar untuk "JAGA ADAB BILA BERSAMA WARGA TUA"

RESEPI DARI CIK BEE

 
Copyright © 2014 AlJannatulFirdaus - All Rights Reserved
Template By Catatan Info